Levi pelepasan jejaskan pelancong - Utusan Malaysia

Levi pelepasan jejaskan pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Pelaksanaan levi pele­pasan bagi semua penumpang udara yang ke luar negara dijangka memberi kesan kepada jumlah kedata­ngan pelancong ke negara ini.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, kajian yang dikeluarkan Suruhanjaya Produktiviti Australia mendapati setiap 10 peratus peningkatan caj lapangan terbang akan menyebabkan pe­ngurangan trafik seba­nyak 1.2 peratus.

“Caj Perkhidmatan Penum­pang (PSC) yang dikenakan di lapangan terbang adalah lebih kurang RM73. Oleh itu, Malaysia akan menyaksikan kekura­ngan penumpang seba­nyak enam peratus atau dua juta pelancong sekiranya kadar levi pelepasan sebanyak 50 peratus atau RM40 dikenakan kepada destinasi selain negara ASEAN.

“Kita (Malaysia) mengalami pertumbuhan negatif kemasukan pelancong luar negara dan kita perlu lihat negara-negara ASEAN juga sedang berusaha menarik dan meningkatkan jumlah pelancong asing untuk datang ke negara mereka,” katanya dalam program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, semalam.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan bercadang untuk mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalak pembangunan pelanco­ngan domestik.

Sementara itu, Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke, sebelum ini berkata, kerajaan sedang mengkaji mekanisme terbaik sebelum levi pelepasan bagi semua penumpang ke luar negara dilaksanakan.

Katanya, kerajaan juga belum memuktamadkan sama ada ia akan diserap ke dalam PSC atau dikutip oleh Jabatan Kastam atau Jabatan Imigre­sen. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN