KUALA TERENGGANU 26 Nov. – Projek pembangunan Lembah Silika Terengganu (TSV) di atas tapak seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang yang disasarkan mampu menarik pelaburan mencecah RM13 bilion dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri , Tengku Hassan Tengku Omar berkata, ketika ini kerja-kerja pembangunan infrastruktur sedang digerakkan terutama bagi penyediaan kemudahan paip gas dari Kerteh dengan kerjasama Petronas.
“Pertanyaan untuk membina kilang memang banyak dan kita dimaklumkan ada tiga syarikat gergasi yang berminat datang ke Terengganu untuk buat kilang di sini.
“InsyaAllah kalau tiada aral tapak ini akan siap untuk dibina kilang pertama pada akhir 2020,” katanya di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.
Ketika menjawab soalan Alias Harun (Pas-Rantau Abang), beliau memberitahu, kerajaan negeri giat mempromosikan industri silika kepada pelabur asing dengan lebih 50 syarikat termasuk dari China, Taiwan dan Korea menunjukkan minat tinggi terhadap projek galian itu.
Semalam, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri ketika membentangkan Bajet 2019 memberitahu, bagi memanfaatkan kekayaan sumber hasil mineral bermutu tinggi itu, TSV dibangunkan sebagai kawasan industri berasaskan silika yang melibatkan kos sebanyak RM200 juta.
Ia bagi pembangunan infrastruktur asas peringkat pertama, tidak termasuk kos penyaluran paip gas asli yang akan dibuat oleh pihak Petronas Gas dari Santong ke tapak projek.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Ahmad Shah Mohamed (Pas-Bandar), Tengku Hassan berkata, hampir 65 peratus pelabur yang ditemui berminat dalam bidang silika di samping pengurusan sisa pepejal dan pengerukan muara sungai.
“Kita sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi tujuan mempromosi produk negeri dan akan ke luar negara mencari pelabur gergasi,” katanya.
Dalam perbahasan Bajet 2019 kemudiannya, beberapa penyokong kerajaan turut menyentuh tentang TSV termasuk Hilmi Harun (Pas-Manir) yang menyatakan kebimbangan dalam keghairahan kerajaan membangunkan industri dan menarik pelaburan, kajian tentang sumber alam itu dikatakan belum siap sepenuhnya.
“Sepatutnya (dalam usaha itu) kita di peringkat kerajaan telah mempunyai mekanisme, mengetahui beberapa sebenar anggaran kandungan sumber alam itu dan beberapa lama ia mampu bertahan (menggerakkan industri).- UTUSAN ONLINE










