SABAK BERNAM – Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia di Simpang 4 Jalan Pekan Parit Baru, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, Mohd. Bahrin Bahrom, 49, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dilaporkan meninggalkan dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Suprintenden Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari arah Sabak Bernam menuju ke Sg. Lang .
Berita berkaitan:
“Mohd. Bahrin yang menunggang motosikal jenis Modenas Elite dilaporkan melintas jalan secara tiba-tiba sebelum bertembung dengan kenderaan lain sehingga menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan raya,” katanya.
Menurut Nor Azmi, mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala dan badan kemudian dibawa ke HTAJ sebelum disahkan meninggal dunia di unit kecemasan hospital berkenaan.
Katanya, siasatan kemalangan itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dikendalikan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nur Amalina Abdul Hamid. – K! ONLINE











