KUALA LUMPUR – Pengunjung pusat beli-belah Suria KLCC di ibu kota di sini petang tadi digemparkan dengan kejadian yang seorang lelaki dipercayai cuba untuk terjun dari tingkat empat pusat beli-belah tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, lelaki berumur dalam linkungan 40-an tersebut berdiri pada bahagian penghadang koridor utama pusat membeli-belah berkenaan telah bertindak mengugut untuk terjun apabila didekati beberapa individu.
Lelaki berkenaan juga turut melakukan aksi-aksi berbahaya antaranya dengan menghulurkan sebelah kaki ke bawah serta memegang penghadang dengan sebelah tangan apabila cuba dipujuk.
Adegan mendebarkan selama lebih dua jam tersebut berjaya ditamatkan selepas lebih 10 anggota keselamatan terdiri daripada bomba dan polis berjaya menyelamatkannya lelaki berkenaan.
Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Fatimah, 38, memberitahu, dia terkejut apabila melihat tindakan lelaki berkenaan dari tingkat dua pusat beli-belah berkenaan.
“Kami (saya dan ahli keluarga) datang dari Alor Gajah, Melaka untuk membeli barang keperluan sempena cuti hujung minggu tapi sekarang semua tergendala apabila ada kejadian ini.
“Ini adalah kerana kami dihalang oleh pasukan keselamatan untuk memasuki beberapa kedai ekoran daripada insiden ini”,katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisoner Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian pukul 5.02 petang.
Sementara itu, jurucakap bomba memaklumkam pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.52 petang sebelum tiga jentera dan 15 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sewaktu sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah serta BBP Jalan Tun Razak tiba di sana memang terdapat individu yang cuba untuk membunuh diri.
“Susulan daripada itu anggota bomba telah melakukan rundingan bersama-sama dengan pihak polis dalam memujuk mangsa,” ujarnya. – K! ONLINE










