SEBERANG PERAI – Seorang pengurus pemasaran ditahan polis semalam selepas membuat laporan palsu berhubung kehilangan sebuah telefon pintar jenama iPhone XS Max.
Suspek lelaki berusia 34 tahun itu ditahan selepas dia didapati membuat laporan polis sambil mendakwa disamun dua lelaki di hadapan rumahnya di Kampung Baru, Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 10 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, suspek membuat laporan palsu itu bagi membuat tuntutan insuran untuk mendapatkan telefon baharu.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek sebenarnya telah menjual telefon itu kepada individu lain di laman web jualan online pada harga RM5,000.
Beliau berkata, suspek direman selama lima hari sehingga Jumaat ini bagi melakukan siasatan lanjut. – K! ONLINE










