CALIFORNIA 17 Nov. – Pasukan forensik kini berhempas pulas untuk mencari lebih ramai mangsa kejadian kebakaran hutan di bandar Paradise selepas jumlah mangsa yang hilang kini meningkat kepada lebih 1,000 orang.
Setakat ini sekurang-kurangnya 71 mayat telah ditemukan di sekitar kaki bukit Sierra yang menempatkan hampir 27,000 penduduk.
Syerif daerah Butte, Kory Honea berkata, lapan mayat ditemukan semalam menjadikan jumlah korban terbesar dalam sejarah kebakaran hutan California selepas 29 orang terbunuh semasa kebakaran Taman Griffith pada 1933 di Los Angeles.
Kata beliau, senarai awal menunjukkan seramai 1,011 mangsa hilang, meningkat tiga kali ganda berbanding hanya 630 orang pada Khamis lalu.
Namun, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak mencetuskan spekulasi berhubung jumlah mangsa yang disenaraikan berikutan semalam seramai 329 mangsa yang dilaporkan hilang telah ditemukan dalam keadaan sihat.
Bandar Paradise yang terletak kira-kira 280 kilometer dari San Francisco kini hangus dalam kebakaran Camp Fire bermula pada 8 November lalu.
Setelah lebih seminggu kejadian berlaku, anggota bomba berjaya mengawal 45 peratus kebakaran walaupun keluasan kawasan yang terbakar meningkat kepada 57,000 hektar.
Selain jumlah penduduk yang terkorban, kerugian harta benda akibat kebakaran itu adalah yang paling besar dalam sejarah California selain memberi cabaran besar kepada kerajaan untuk memberi perlindungan jangka panjang kepada beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Lebih 9,800 rumah musnah dan kebanyakan penduduk kini menumpang sementara di rumah rakan dan ahli keluarga lain manakala yang lain mendirikan khemah atau bermalam dalam kenderaan masing-masing.
Sementara itu, kualiti udara di utara California dikategorikan sebagai paling buruk di dunia.
Menurut Purple Air, kualiti udara di kawasan itu adalah terburuk berbanding bandar-bandar yang sering dilanda jerebu seperti India. – REUTERS/AFP










