MELAKA – Lebih 100 ahli termasuk Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Cawangan Kampung Paya Rumput Hilir, Tangga Batu di sini yang bertindak keluar dari parti semalam, hari ini membuat pusingan U apabila mengumumkan akan kekal dalam pertubuhan itu.
Pengerusi Amanah Cawangan Kampung Paya Rumput Hilir, Jalalludin Mulot berkata, keputusan itu dibuat tanpa desakan daripada mana-mana pihak, sebaliknya masalah dalaman yang menjadi punca krisis tersebut telah pun diselesaikan secara baik bersama Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari.
Katanya, masalah membabitkan jawatan dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu tidak lagi menjadi isu dan pihaknya kini lebih fokus untuk melaksanakan perjuangan parti.
“Kita akan meneruskan perjuangan bersama Amanah negeri ini, walau apa juga masalah yang berlaku kita akan sentiasa menyokong parti.
“Apa yang berlalu semalam (tindakan keluar parti) hanya salah faham, namun perkara ini telah diselesaikan bersama Pengerusi Amanah negeri yng juga Ketua Menteri tanpa campur tangan pihak luar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan pembatalan pembubaran Amanah Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir bersama para penyokongnya di sini hari ini. – K! ONLINE










