KANGAR 16 Nov. – Laungan takbir dan bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bergema di pekarangan Masjid Alwi selepas solat Jumaat di sini, hari ini.
Tanpa mengira fahaman politik, kira-kira 500 orang umat Islam berkumpul secara aman dan tidak berganjak walaupun dalam keadaan cuaca panas, bagi menyatakan bantahan mereka terhadap sebarang usaha untuk mengiktiraf ICERD.
Perhimpunan itu digerakkan oleh Pas, UMNO dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam negeri ini.
Antara pemimpin yang hadir dalam perhimpunan yang berlangsung kira-kira satu jam itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin;
Timbalan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli dan seluruh barisan kepemimpinan UMNO dan Pas negeri termasuk wakil-wakil daripada pelbagai NGO Islam Perlis.
Kesemua pemimpin yang berucap senada mahu kerajaan Pakatan Harapan tidak sesekali menandatangani konvensyen tersebut.
Antaranya, Mohd. Shukri dengan tegas mengingatkan kerajaan agar tidak tunduk dengan sebarang desakan pihak tertentu untuk mengiktiraf ICERD.
“Hari ini, kita dengar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan menangguhkan daripada menandatangani konvensyen itu. Kita tidak mahu tangguh, sebaliknya nyatakan pendirian jelas menolak ICERD ini,” katanya.
Zahidi pula menegaskan, umat Islam tidak pernah memberontak apabila kerajaan hari ini melantik kaum lain memegang pelbagai jawatan penting seperti menteri dan peguam negara.
Malah katanya, kebanyakan menteri dikuasai oleh bukan Islam juga mereka tidak sesekali marah dan menunjukkan umat Islam langsung tidak mempunyai niat mendiskriminasikan kaum lain.
“Namun apabila mereka sudah melebihi had hendak mengiktiraf ICERD, kita tidak lagi boleh bertolak ansur dan akan bangkit secara habis-habisan menentangnya,” katanya.
Sementara itu, Azlan pula berkata, beliau akan memanjangkan memorandum bantahan ICERD yang diserahkan kepadanya oleh wakil Pas dan UMNO kepada kerajaan.
Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan sesetengah pihak supaya tidak bermain dengan api dengan membangkitkan soal untuk mengiktiraf konvensyen tersebut.- UTUSAN ONLINE










