SIBU 23 Nov. – Kerajaan Sarawak digesa memberi lebih penekanan terhadap usaha melatih tenaga kerja tempatan berkemahiran bagi menampung keperluan industri perumahan.
Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Sibu Cecil Lau Ning Kiang berkata permintaan terhadap rumah dijangka meningkat susulan pelaksanaan Program Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi bagi golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana (M40) oleh kerajaan negeri.
“Ketika Sarawak terus membangun, kami pula berdepan kekurangan tenaga kerja berkemahiran. Kebanyakan pekerja mahir sama ada berpindah ke tempat lain yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan atau meninggalkan terus bidang ini,” katanya pada Jelajah Kediaman (amp) Hartanah SHEBA Sibu 2018, di Wisma Sanya, di sini hari ini.
Lau berkata latihan itu termasuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja pembinaan sedia ada agar mereka boleh membaiki kemahiran sekali gus menambah baik kualiti dan kecekapan ketika bekerja.
“Langkah ini boleh mengelakkan pelbagai isu seperti kelewatan dan kualiti kerja yang merupakan antara masalah yang dibawa ke tribunal perumahan,” katanya menambah kerajaan boleh menggunakan beberapa institusi pengajian tinggi untuk tujuan itu.
Menurutnya SHEDA bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri menerusi penganjuran program latihan, mengadakan program penempatan pekerja serta syarahan industri oleh majikan dan profesional.
Terdahulu, Lau mengalu-alukan langkah kerajaan negeri melancarkan Garis Panduan Program Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi yang membolehkan pemaju turut serta dalam menyediakan rumah mampu milik kepada kumpulan berpendapatan rendah.
Program itu yang dijangka dilancarkan pada awal tahun depan menawarkan harga maksimum rumah atas tanah pada RM270,000 (unit tengah) dan RM295,000 (unit sudut) manakala untuk bangunan kediaman berstrata pula pada RM295,000.
Jelajah tiga hari bermula hari ini itu dilancarkan oleh Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee. – BERNAMA










