Lapan ditahan terlibat aktiviti keganasan - Utusan Malaysia

Lapan ditahan terlibat aktiviti keganasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Lapan individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas pada 30 Oktober hingga 12 November lalu.

Suspek yang terdiri daripada tujuh warga Filipina dan seorang warga tempatan berusia antara 27 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menerusi serbuan di Putrajaya dan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, seorang daripada suspek yang ditahan ialah seorang daripada Komander Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang juga merupakan orang kanan kepada pemimpin tertinggi ASG, Furuji Indama.

“Warga Filipina berusia 30 tahun yang bekerja sebagai tukang besi itu ditahan pada 10 November lalu di Kinarut, Sabah.

“Pada 1 November lalu, tiga suspek warga Filipina berusia antara 27 hingga 51 tahun yang bekerja sebagai buruh juga ditahan di Tenom, Sabah.

“Ketiga-tiga suspek itu menganggotai ASG serta terlibat dalam kegiatan culik untuk tebusan atau ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) di Selatan Filipina dan Sabah serta seorang daripada mereka mempunyai kemahiran menghasilkan senjata api bagi kumpulan ASG,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fuzi, dua lagi suspek warga Filipina berusia 35 dan 46 tahun yang bekerja sebagai buruh dan juruteknik juga ditahan di Ranau, Sabah.

Jelas beliau, suspek berusia 35 tahun itu berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai kumpulan ASG dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina.

“Seorang lagi suspek, peniaga pasar malam berusia 60 tahun warga Filipina ditahan pada 12 November lalu di Tenom, Sabah dan terlibat melindungi seorang daripada suspek ditangkap pada 8 November lalu.

“Warga tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas pula ditahan di Putrajaya kerana terlibat menyalurkan dana kepada Akel Zainal untuk aktviti Daesh,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN