IPOH 26 Nov. – Polis menahan lapan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat makanan di Bandar Baru Medan Ipoh, di sini awal pagi kelmarin.
Kesemua suspek berusia 17 hingga 24 tahun itu ditahan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua lelaki tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Katanya, siasatan mendapati, pergaduhan yang rakaman videonya tular di media sosial itu adalah pergaduhan antara sekumpulan remaja dan bukannya melibatkan pergaduhan antara kaum mahupun kongsi gelap.
“Punca sebenar pergaduhan antara remaja-remaja yang merupakan kenalan itu disebabkan perselisihan faham kerana hutang. Ini sekali gus menafikan ia berlaku kerana pergaduhan antara kaum dan kongsi gelap.
“Oleh itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau berkata, kesemua lelaki tersebut direman bermula semalam sehingga lusa untuk siasatan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Beberapa rakaman video mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada pukul 2.50 pagi itu tular di laman sosial sejak semalam dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Menerusi rakaman itu, sekumpulan lelaki dilihat membuat kecoh dengan membaling kerusi, meja dan botol minuman selain bergaduh sesama mereka. – UTUSAN ONLINE










