Laksana pelan penggantian sedia pelapis penjawat awam bersara, naik pangkat - Utusan Malaysia

Laksana pelan penggantian sedia pelapis penjawat awam bersara, naik pangkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 15 Nov. – Kerajaan negeri komited untuk melaksanakan pelan penggantian atau Succession Plan yang lebih sistematik bagi menyediakan pelapis kepada pegawai-pegawai jawatan strategik yang bakal bersara atau dinaikkan pangkat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, inisiatif tersebut antara lain untuk melaksanakan pemantapan struktur organisasi melalui penubuhan Bahagian Biasiswa dan Latihan dalam Perkhidmatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari tahun hadapan.

Menurut beliau, dalam masa yang sama, kerajaan turut menyasarkan peningkatan peratusan jawatan bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional daripada 6 peratus kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun.

“Penambahan kapasiti penjawatan tersebut akan meningkatkan jumlah pengisian jawatan seterusnya mengukuhkan sumber tenaga kerja agar pelaksanaan tugas dan tanggungjawab setiap penjawat awam lebih fokus dan teratur.

“Kerajaan juga akan mengadakan program kolaborasi dengan Institut-institut latihan terkemuka dengan menghantar pegawai kumpulan pengurusan dan profesional bagi menghadiri program latihan jangka pendek dalam dan luar negara dengan memberikan pendedahan kepada budaya organisasi berprestasi tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai mengenai langkah kerajaan dalam mempunyai pelan penggantian untuk jawatan kanan dalam perkhidmatan awam negeri.

Tambah Mohd. Shafie, pihaknya meletakkan keutamaan terhadap pelan itu bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan perkhidmatan awam melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan.

“Perancangan ini menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai matlamat jelas dalam menentukan hala tuju perkhidmatan awam negeri melalui pemerkasaan keupayaan dan peningkatan kompetensi penjawat awam ke arah mewujudkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN