Kurangkan politik dalam bola sepak - Utusan Malaysia

Kurangkan politik dalam bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 15 Nov. – Semua pihak diminta tidak terlalu banyak berpolitik dalam bola sepak negeri sebaliknya fokus untuk mengekalkan momentum kemenangan pasukan Perak khususnya dalam play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, isu bola sepak di Perak sudah seperti permainan politik dan beliau tidak berminat dengan keadaan sedemikian.

Menurutnya, beliau akan berjumpa dengan Exco Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa)
dalam masa terdekat bagi membincangkan perancangan untuk memperkuatkan
persiapan dan mengelak persatuan  terheret ke dalam kemelut politik.

“Saya kena jumpa dengan semua Exco Pafa untuk mendapatkan pandangan. Saya juga
mendengar pandangan orang ramai dan memantau pendapat peminat bola sepak Perak.

“Nampaknya isu bola sepak di Perak sudah jadi macam permainan politik
pula. Saya fikir semua sedia maklum saya tidak berminat terlalu banyak bermain
politik, fokus saya untuk mengekalkan momentum kejayaan pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Integriti Institusi Negeri Perak anjuran bersama Institut Integriti Malaysia dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mengenai keputusan Exco Pafa yang menolak peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Munaim sebagai Presiden Pafa, Ahmad Faizal yakin Hasnul Zulkarnain akan membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan sukan bola sepak Perak.

Katanya, ia bukan mengenai kepentingan sesiapa kerana yang penting ialah fokus untuk membawa lebih kejayaan kepada pasukan bola sepak Perak.

“Pasukan bola sepak Perak tidak terlalu bergantung kepada siapa yang memegang jawatan Presiden, Timbalan atau pengurus pasukan tetapi ialah bagaimana mengurus kejayaan.

“Sebagai contoh tidak semestinya kalau saya jadi Presiden boleh bawa kejayaan
hingga ke peringkat Asia. Ini bukan soal siapa jadi Presiden tapi yang penting
bagaimana hendak kekalkan momentum kejayaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN