Kumpulan Sunway bantu sediakan kelengkapan sekolah - Utusan Malaysia

Kumpulan Sunway bantu sediakan kelengkapan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Kumpulan Sunway dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu 157 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dengan mengagihkan keperluan barangan sekolah di bawah Program Kembali Ke Sekolah 2018, di Sunway Putra Mall, di sini, baru-baru ini.

Pengurus Besar Kanan Pemasaran dan Komunikasi Jenama Kumpulan Sunway, Jane Poh berkata, program CSR ini merupakan program amal komuniti tahunan Kumpulan Sunway bertujuan membantu persediaan pelajar dan murid sekolah yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah.

“Kami menyasarkan sebanyak 4,000 pelajar di 59 sekolah yang terdiri daripada anak-anak yatim, kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan anak-anak golongan yang memerlukan di kawasan luar bandar,” katanya.

Yang turut hadir, Pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi dan Pengurus Besar, Sunway Putra Mall, Phang Sau Lia.

Bantuan kelengkapan persekolahan yang merangkumi beg sekolah dan alat tulis ini bagi membantu meringankan beban keluarga miskin daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta yang mempunyai tanggungan yang ramai serta kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak mereka.

Bagi sesi persekolahan pada tahun ini beberapa buah sekolah di negeri Selangar turut mendapat manfaat antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong, SK Bandar Sunway dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sunway.

Selain di Selangor, Kumpulan Sunway turut mengagihkan bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar dan murid miskin di 11 lokasi terpilih di negeri Johor dan 38 sekolah di Perak.

– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN