Kualiti air sungai di Malaysia merosot teruk - Utusan Malaysia

Kualiti air sungai di Malaysia merosot teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Nov. – Kualiti air di sungai-sungai utama di seluruh negara merosot teruk sejak 10 tahun lalu dengan kadar kekeruhan di kebanyakan sungai didapati sudah mula melebihi 1,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU).

Malah, Sungai Bilut di Pahang serta beberapa sungai lain di Johor dan Sabah dikesan pernah mempunyai kadar kekeruhan sehingga melebihi 10,000 NTU.

Ketua Pengarah Jabatan Air, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Noor Azahari Zainal Abidin berkata, loji-loji rawatan air di negara ini hanya mampu merawat air sungai yang mempunyai kadar kekeruhan di bawah 1,000 NTU.

“Setiap kali kadar kekeruhan melebihi 1,000 NTU, proses merawat air mentah tergendala kerana loji rawatan air terpaksa ditutup dan hanya dapat beroperasi semula selepas beberapa hari.

“Pencemaran sumber air berlaku kerana banyak faktor seperti aktiviti pembalakan dan kemusnahan kawasan tadahan air,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Penutupan Persidangan dan Pameran Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC), di sini hari ini.

Persidangan kali ke-31 itu berlangsung selama empat hari sejak Ahad lalu dan berjaya mengumpulkan seramai 290 peserta terdiri daripada jurutera dan eksekutif agensi bekalan air dari seluruh negara serta pelbagai pihak berkepentingan dalam industri air.

Terdahulu, persidangan tersebut merumuskan empat cadangan utama bagi menambah baik industri air negara dan pilihan lain selain sumber air sungai. Empat cadangan itu ialah;

1. Menjadikan air bawah tanah sebagai sumber air mentah yang sama penting dengan air sungai.

2. Membuat kajian dan mengemas kini data berkaitan kuantiti dan kualiti air bawah tanah di seluruh negara.

3. Mewujud, memperkasa dan menguatkuasakan undang-undang di negeri-negeri bagi memelihara sumber air bawah tanah.

4. Menyediakan garis panduan teknikal berkaitan reka bentuk dan loji yang menggunakan sumber air bawah tanah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN