KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan rasuah memperoleh dan menerima wang RM3 juta membabitkan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tengku Adnan, 68, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Ahmad selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahli Parlimen Putrajaya itu menerima untuk dirinya wang berjumlah RM1 juta daripada Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn. Bhd. yang didepositkan ke dalam akaun Bank CIMB miliknya.
Ia sebagai upah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn. Bhd. yang kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn. Bhd.untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak di sini.









