Kritikan jangan melepasi had - Utusan Malaysia

Kritikan jangan melepasi had

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Arab Saudi memberi amaran supaya kritikan terhadap Putera Mahkotanya, Mohammed bin Salman tidak melampaui had untuk mengaitkan beliau dalam kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata demikian kelmarin selepas terdapat desakan supaya Putera Mahkota itu bertanggungjawab di atas pembunuhan kejam Jamal.

Adel mengulas perkara itu selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Arab Saudi kerana mengekalkan harga minyak pada tahap rendah, satu helah yang digunakan untuk menentang hukuman terhadap Riyadh walaupun Agensi Perisikan Pusat (CIA) dilaporkan menemui bukti kukuh beliau terlibat.

“Di Arab Saudi, kritikan terhadap pemimpin kami sudah mencapai garis merah. Penjaga dua masjid suci (Raja Salman) dan Putera Mahkotanya kini mencapai garis merah,” kata Adel kepada stesen penyiaran BBC.

“Mereka mewakili rakyat Arab Saudi dan setiap warganegara mewakili mereka. Dan kami tidak akan bertolak ansur terhadap apa-apa perbincangan yang bertujuan menjatuhkan monarki kami serta Putera Mahkota,” katanya.

Jamal merupakan penduduk tetap AS yang menulis untuk akhbar The Washington Post dan mengkritik Putera Mohammed dikatakan diumpan ke Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu sebelum dibunuh dan tubuhnya dikerat-kerat.

Selepas lama menafikan penglibatannya, pihak berkuasa Arab Saudi mengaku bertanggungjawab dan 21 orang telah ditahan. Bagaimanapun, analisis CIA yang bocor kepada media AS menuduh Putera Mahkota terlibat.

Adel menegaskan bahawa Putera Mohammed tidak terlibat dalam plot pembunuhan itu.

“Kami sangat jelas dengan perkara ini. Kami sedang meneruskan siasatan dan akan menghukum individu-individu yang bertanggungjawab,” kata­nya serta turut meminta Turki menyerahkan semua bukti kejadian itu dan berhenti membocorkan maklumat.

Menteri Luar itu berkata, pembunuhan itu merupakan satu ‘operasi ganas’ oleh pegawai perisikan, manakala apa-apa kemungkinan sekatan AS terhadap Arab Saudi masih samar-samar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN