SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengenai pemasalahan dihadapi remaja genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani dalam masa terdekat.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, ini berikutan Adi Putra sebelum ini mengikuti pembelajaran peringkat A Level di Kolej Matrikulasi UIAM.
“Kita akan berbincang dengan UIAM sebab dia (Adi Putra) belajar di sana,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas program Read@Uni Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Maszlee berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! sebelum ini berhubung kesediaan beliau untuk membantu Adi Putra melanjutkan pelajarannya.
Adi Putra mengaitkan kegagalannya memperoleh sebarang sijil akademik termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana program pendidikan khas yang diikutinya pada usia sembilan tahun terlalu ‘berat’ dan menyebabkan dia tertekan. – K! ONLINE










