PUTRAJAYA 26 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menganjurkan ‘Jualan Ekonomi Pengguna’ bertempat di perkarangan Dewan Serbaguna, aras bawah, Ibu Pejabat KPDNHEP di sini dari 27 hingga 29 November ini.

Menurut kenyataan daripada KPDNHEP, kemuncak program berkenaan adalah pada 29 November ini menerusi jualan ‘Happy Hour’ yang menawarkan barangan terpilih pada harga runtuh.
“Sebanyak enam syarikat peruncitan terkemuka mengambil bahagian dalam jualan tersebut iaitu KK Super Mart, Tunas Maju Group (TMG), pasar raya Segi Fresh, D’Mart, Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Berhad (SKMOK) dan Big Supermarket,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.
Ujar kenyataan itu, antara barangan yang akan ditawarkan adalah barang keperluan harian termasuk beras, minyak masak, tepung, gula, dan sayuran-sayuran.
“Sementara itu, pada 29 November, jualan tersebut akan menawarkan barangan hasil laut seperti ikan, sotong dan ikan bilis serta udang galah segar yang dibawa khas dari Teluk Intan yang ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut, program selama tiga hari berkenaan akan bermula dari pukul 9 pagi dan orang ramai adalah dijemput hadir. – UTUSAN ONLINE










