Konvoi bermotosikal berakhir tragedi - Utusan Malaysia

Konvoi bermotosikal berakhir tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Maut ketika bantu rakan konvoi motosikal yang terlibat kemalangan.

Itu nasib dua sahabat baik yang menemui ajal selepas mereka dirempuh sebuah treler di Kilometer 405, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Kuala Kubu Bahru, Selangor hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Mohamad Faridzuan Shariff, 20, maut di lokasi kejadian, manakala Muhamad Nur Shafiq Kamil Mukmin, 18, meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Sungai Buloh.

Lima lagi rakan mereka yang turut mengikuti konvoi tersebut dipercayai menuju ke restoran Nasi Bamboo di Sungai Klah, Sungkai, Perak, cedera.

Mereka ialah Nur Shahirah Abd Razak, 21; Ahmad Syahmi Ahmad Suhaili, 18; Noramira Syazwani Ramli, 18; Muqri Syafiq Shahrun Nizar, 20; dan Sharifah Nurshahirah Syed Mohd Ariffin, 20.

Pemandu kereta Proton Exo­ra yang turut terlibat dalam kemalangan itu Mohd. Radi Mamat, 56, dan pemandu treler terlibat tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kejadian berlaku apabila kumpulan konvoi terbabit berhenti di lorong kecemasan kerana motosikal milik salah seorang peserta telah terbabas di lorong tengah lebuh raya itu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibantu Mohamad Faridzuan dan Muhammad Nur Shafiq bersama empat lagi rakan mereka dan seorang pemandu kereta Proton Exora yang kebe­tulan berhenti di lokasi kejadian.

“Ketika mereka sedang membantu mangsa termasuk mengalihkan motosikalnya ke lorong kecemasan, datang sebuah treler dari arah belakang dan merempuh kumpulan ter­babit.

“Mohamad Faridzuan dan Muhammad Nur Shafiq yang tidak sempat mengelak tercampak di lorong tengah,” katanya di sini hari ini.

Tambah Bhak Phai, berikutan kejadian itu, pemandu treler berusia 33 tahun itu telah ditahan di Balai Polis Trafik Kuala Kubu Bahru dan permohonan reman terhadapnya akan dilakukan esok untuk siasatan lanjut.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×