PESURUHJAYA Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman mengarahkan kongres ke-31 Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang sepatutnya berlangsung Ahad ini ditangguhkan selepas wujud bantahan dalam kalangan ahli gabungannya.
Menurut Zaiton, menerusi surat rasmi yang dikeluarkan semalam, kemelut yang berlaku itu sudah menjadi perhatian umum dalam media massa dan sosial, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli gabungan mahupun para peminat bola sepak Kuala Lumpur.
“Pejabat ini mengambil maklum dan memandang serius mengenai kemelut yang berlaku dalam proses pencalonan bagi Kongres ke-31 KLFA yang dijangka diadakan pada 18 November 2018.
“Kemelut ini telah menjadi perhatian umum menerusi media massa mahupun media sosial dan menimbulkan keresahan di kalangan ahli-ahli gabungan serta peminat-peminat bola sepak Kuala Lumpur.
“Pejabat ini turut menerima surat bantahan daripada ahli gabungan KLFA yang tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan pelaksanaan kongres yang disifatkan menidakkan hak ahli-ahli,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Kasnon mendakwa KLFA tidak telus dalam menguruskan borang pencalonan kongres badan induk itu, sekali gus haknya dinafikan untuk bertanding jawatan presiden.
Bagaimanapun Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menepis dakwaan tersebut yang menurutnya terdapat calon yang menggunakan cara kotor untuk mencalonkan namanya bertanding dalam jawatan tertinggi KLFA berkenaan.
Presiden KLFA masih disandang oleh Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan sejak 2014.
Bagi menyelesaikan kemelut tersebut, Zaiton bakal memanggil Nokman dan pengadu bagi mendapatkan penjelasan masing-masing.
“Bagi memberi ruang untuk menyelesaikan kemelut ini, Pejabat ini berpandangan wajar kongres tersebut ditangguhkan sehingga proses siasatan lanjut dan pendengaran selesai,” tambah Zaiton.










