Kinabalu simbolik 
kembara lima dekad JCorp - Utusan Malaysia

Kinabalu simbolik 
kembara lima dekad JCorp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tarikh 9 November 2018 merupakan detik bersejarah buat Johor Corporation apabila 43 kakitangan termasuk anak syarikat berjaya mengibarkan bendera syarikat itu di puncak Gunung Kinabalu.

SELEPAS sesi taklimat oleh ketua malim gunung selesai, perasaan Nor Samsuria Salleh, 42, mula berdebar-debar.

Dia tidak dapat menyembunyikan rasa gementar untuk memulakan ekspedisi menawan puncak Gunung Kinabalu walaupun pernah beberapa kali berjaya melakukan pendakian ke beberapa gunung lain di semenanjung dan di negara jiran, Indonesia sebelum ini.

“Sebelum ke sini, saya sudah mendapatkan banyak maklumat berkaitan pendakian ke Gunung Kinabalu sama ada melalui pengalaman rakan-rakan mahu pun menonton video menerusi Internet.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ia sudah cukup untuk membuatkan saya berasa takut untuk melakukannya kerana laluan yang bakal ditempuhi sangat mencabar terutama dua kilometer terakhir sebelum tiba di puncak, apatah lagi apabila saya turut diserang demam denggi beberapa hari sebelum berangkat ke sini,” katanya yang mula mendaki pada pukul 9 pagi.

Dia yang bertugas sebagai kerani kanan di Johor Land Berhad (Johor Land), sebuah anak syarikat Johor Corporation (JCorp), bagaimanapun mengakui, disebabkan ingin merasai pengalaman menikmati keindahan alam dari atas puncak tertinggi di Asia Tenggara itu selain bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-50 JCorp di puncak gunung itu, dia menggagahkan juga diri untuk meneruskan ekspedisi tersebut.

Laluan mencabar

Akhirnya, seawal pukul 5.30 pagi 9 November lalu, nama Nor Samsuria telah tersenarai antara 40 pendaki dari kumpulan JCorp yang berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dari aras laut walaupun ada antara mereka hanya tiba sejam kemudian kerana keletihan.

Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara. Permukaan asalnya terdiri daripada batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan antara lapan hingga 12 juta tahun dahulu sehingga akhirnya mendedahkan permukaan batuan pluton yang lebih tegar.

Keadaan itu dapat dilihat pada ketinggian melebihi 3,700m bermula dari Pos Sayat-Sayat menuju ke puncak apabila sebahagian besar laluan pendakian melibatkan kawasan berbatu yang licin dan tidak ditumbuhi pokok-pokok bersaiz besar melainkan tumbuhan renek yang tumbuh di celah batu-batuan.

Justeru, tidak hairanlah apabila laluan pendakian menuju ke puncak dari Pos Sayat-Sayat merupakan antara laluan paling mencabar. Para pendaki bukan sahaja terpaksa bergantung kepada tali untuk mendaki, tetapi perlu lebih berhati-hati kerana permukaan batu yang licin dan basah boleh mengakibatkan maut jika tergelincir.

Disebabkan faktor Gunung Kinabalu telah diiktiraf sebagai puncak tertinggi di Asia Tenggara selain tahap pendakian yang dikatakan jauh lebih sukar berbanding gunung-gunung lain, maka ia telah menarik minat Pengurus Besar Jabatan Pemasaran dan Dokumentasi Jualan Johor Land, Mohd. Hizam Abdul Rauf untuk mengemukakan idea melaksanakan ekspedisi itu sebagai cara meraikan ulang tahun ke-50 JCorp pada 7 hingga 10 November lalu.

Cadangan

“Sebelum itu, pihak pengurusan tertinggi JCorp telah meminta kesemua anak syarikat agar mengemukakan cadangan untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-50 syarikat yang diraikan pada tahun ini.

“Justeru, pengurusan Johor Land yang bermesyuarat pada Mac 2018 telah memberi cadangan agar dilaksanakan suatu aktiviti di luar kebiasaan iaitu meraikannya di puncak Gunung Kinabalu.

“Sebagaimana tingginya Gunung Kinabalu dan segigih mana setiap pendaki mengerah keringat untuk menempuh segala cabaran untuk tiba di puncak, begitulah simbolik yang menggambarkan kejayaan yang telah dikecapi oleh JCorp sejak ditubuhkan pada 18 Mei 1968 beserta anak-anak syarikatnya selama ini,” katanya.

Menurut Mohd. Hizam, selepas idea tersebut mendapat persetujuan pengurusan tertinggi JCorp, sesi pemilihan peserta melibatkan kesemua anak syarikat di bawah JCorp termasuklah Johor Land, KPJ Healthcare Berhad, Kulim (Malaysia) Berhad, QSR Brand Berhad, Damansara Realty Bhd, TPM Teknopark Berhad dan Puteri Hotels Berhad pun bermula.

Daripada lebih 100 kakitangan yang berminat untuk menyertai program tersebut, akhirnya hanya 43 orang sahaja yang terpilih selepas mengambil kira tahap kecergasan dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang tempoh ujian pemilihan dan latihan yang dilaksanakan selama hampir tiga bulan sebelum ekspedisi berkenaan.

Bagi membakar semangat para peserta yang rata-ratanya tidak mempunyai pengalaman dalam aktiviti pendakian, Johor Land selaku penganjur program turut melantik pendaki solo Gunung Everest negara,

Ravichandran Tharumalingam, atau lebih dikenali sebagai Ravi Everest dan pemegang rekod pendakian terbanyak Gunung Kinabalu, Mohd. Noor Mat Amin yang lebih mesra digelar Pendaki Solo.

“Kehadiran kedua-dua ikon negara dalam aktiviti pendakian ini telah melonjakkan semangat para peserta untuk menjayakan ekspedisi menawan Gunung Kinabalu.

Menjelang waktu subuh pada 9 November, kami telah berjaya menjejakkan kaki di puncak.

Putus asa

“Lebih membanggakan apabila sebahagian besar peserta ekspedisi berjaya tiba lebih awal daripada yang jangkaan,” katanya pencapaian ini membuktikan semangat dan keterujaan meraikan ulang tahun JCorp dengan cara yang sangat istimewa.

Perkara itu diakui penyelaras ekspedisi yang juga Pengurus Kanan Pejabat Korporat Johor Land, Mahani Mohd. Amin.

Menurut Mahani, rata-rata peserta menzahirkan rasa gembira selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu walaupun tanpa pengalaman dalam dunia pendakian.

“Saya sendiri tidak pernah terlibat dalam aktiviti pendakian sebelum ini dan ekspedisi ini merupakan yang julung-julung kalinya dalam hidup saya.

“Walaupun saya hampir berputus asa di tengah-tengah pendakian, namun saya gagahkan diri,” katanya.

Di sebalik kejayaan kumpulan pendaki tersebut, Syed Mohamed Raffe Syed Mustapha, 48, merupakan antara peserta paling gembira apabila hasratnya untuk menawan puncak Gunung Kinabalu yang pernah tertangguh sejak lebih dia dekad lalu akhirnya tertunai.

Pengurus Kanan TPM Technopark Berhad itu menjelaskan, walaupun hampir berputus asa dan sudah membayangkan misinya itu bakal berakhir selepas diserang mabuk gunung akut (AMS) selepas berada di ketinggian hampir mencecah 3,500 meter, namun atas semangat dan dorongan rakan-rakan serta malim gunung, dia akhirnya tiba di puncak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN