Kifarah buat ayah! - Utusan Malaysia

Kifarah buat ayah!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA yang harus dilakukan? Adik beradik masing-masing tak mahu ambil tahu. Kata mereka, itu balasan yang sewajarnya diterima.

Ya, saya akui ayah dulu bukanlah ayah yang baik. Sikap panas barannya membuatkan semua orang takut kepadanya. Pantang silap sikit, saya dan adik beradik yang lain akan lunyai disebatnya. Saya ada lima adik beradik dan saya anak yang bongsu.

Bagi ayah, kalau seorang daripada anak-anaknya buat salah, maka semuanya akan menerima hukuman. Dari besar hinggalah yang kecil akan berbirat rotan di belakang badan.

Emak? Usah cakaplah. Ada sahaja kesalahan mak pada mata ayah. Pernah juga ayah menelangkupkan lauk yang dimasak oleh mak ke atas meja makan. Waktu itu kami semua terdiam. Masing-masing menundukkan kepala kerana tak sanggup bertentang mata dengan ayah.

Mak pula hanya membisu dan menundukkan wajahnya. Makian dan celaan yang ayah hamburkan kepada emak, ditelan dengan begitu payah. Sakit! Hanya Allah yang tahu bagaimana remuknya hati emak saat ayah memarahinya.

Kami anak-anak dah tak sanggup melihat mak dimarahi ayah. Bagi kami, biarlah tiada ayah kerana kami masih ada mak yang boleh menjaga kami. Tapi kesetiaan mak kepada ayah tidak pernah berganjak. Dipukul, dimarah, dicela, dimaki, mak terima seadanya. Bagi mak, ketaatan dan kesetiaan seorang isteri hanya ada pada dua tempat iaitu Allah dan suami.

Mak kata, suatu hari nanti ayah akan berubah. Soalnya sampai bila? Mak juga pesan kepada kami, apa jua yang ayah lakukan kepada mak dan kami adik-beradik, jangan sesekali diceritakan kepada orang lain. Ini maruah keluarga! Kita simpan aib itu sama-sama.

Sedih! Hati mana yang tidak meraung melihat kesengsaraan yang ditanggung oleh mak. Menitis air mata darah sekalipun, mak tetap dengan keputusannya untuk setia bersama ayah.

Namun Allah itu Maha Penyayang. Suatu hari apabila ayah bertengkar dengan mak, ayah tiba-tiba melafazkan talak tiga kepada mak. Mak terduduk dan menangis. Tapi kami adik-beradik mengucap syukur kerana saat lafaz talak itu dijatuhkan, maka akan berakhirlah kesengsaraan mak.

Tahun berlalu, sepanjang peninggalan ayah, kami tidak tahu di mana ayah berada. Sehinggalah suatu hari saya ternampak kelibat ayah di sebuah surau. Kata orang surau, ayah dah berada di situ sejak sekian lama.

Sekali lagi hati aku diamuk kesedihan. Marah macam mana pun dengan perangai ayah, dia tetap ayah aku. Tak tergamak membiarkannya sebegini.

Aku berbincang dengan adik-beradik supaya membela ayah. Masing-masing menolak. Tiada lagi rasa sayang kepadanya.

Bawa ke rumah? Mana mungkin. Aku juga sedang menjaga ibu yang sedang sakit. Ya Allah, bantulah aku!

TIP KAUNSELOR

  • Dalam rumah tangga, sifat marah perlu ada untuk mendidik isteri dan anak-anak. Tetapi marah yang dianjurkan ialah ketika isteri dan anak-anak cuai dengan tanggungjawab terhadap perintah Allah.
  • Islam mengajar umatnya agar berlemah-lembut dan tegas pada tempat tertentu dalam mendidik anak-anak. Tegas tidak bermakna boleh membuat kekasaran sesuka hati.
  • Walau bagaimana jahatnya ibu atau bapa kita, mereka tetap ayah dan ibu. Benci kita kepada mereka tidak membawa ke mana-mana. Sebaliknya, berbuatlah baik kepada mereka sekalipun agak sukar untuk melakukannya. Ingat, nama kita tidak pernah dibin atau berbintikan orang lain tetapi hanya nama ayah kita. Ambil kesempatan yang ada untuk memeliharanya dengan baik.
  • Mengambil sikap menghukum ayah dengan perbuatan lampaunya dengan tidak mahu ambil tahu keadaannya, tidak menyelesaikan masalah. Perlu difahami, hak menghukum itu hanya hak Allah dan sebagai anak, tanggungjawab kita kepada orang tua tetap ada.
  • Dalam urusan mahu memelihara si ayah sedangkan di rumah adanya ibu yang sudah diceraikan, disarankan agar si anak dapat mencari rumah perlindungan bersesuaian agar kehidupannya lebih terjaga. Adik-beradik mungkin boleh berkongsi wang untuk membayar keperluan di rumah berkenaan.

PANDANGAN KAUNSELOR

Marah! Penyakit yang sering kali membuatkan manusia hidup huru-hara. Lantas tidak hairanlah apabila seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Jariyah bin Qudamah meminta wasiat daripada Baginda dan jawapan yang diberikan amat ringkas iaitu jangan marah.

Hal ini diceritakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berilah aku wasiat”. Baginda menjawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi bersabda, “Engkau jangan marah!” – Riwayat Bukhari (6166).

Ternyata, emosi amarah yang tidak terkawal bakal mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan impaknya juga kepada orang lain.

Sebagaimana kisah dipaparkan di atas, sifat marah seorang ayah yang keterlaluan telah mencetus dan menanamkan sifat benci serta dendam dalam diri anak-anak. Bukankah ini satu kerugian dalam kehidupan?

Yang pasti, kegagalan mengawal nafsu amarah membuatkan anak-anak hilang rasa hormat bahkan tidak mahu ambil tanggungjawab untuk memelihara orang tuanya.

Tidak dinafikan, dalam setiap diri manusia itu, wujud sifat marah. Namun sifat itu harus dikawal dan perlu diletakkan di tempat yang sesuai dengan situasi. Misalnya, marah dalam mempertahan kesucian agama. Marah kerana melanggar syariat Islam dan sebagainya.

Perlu diingatkan, kemarahan diluahkan dalam bentuk yang kasar bukan melambangkan kita kuat. Sebaliknya, keupayaan untuk menahan marah itulah kuat di sisi Islam.

Dalam sebuah hadis ada menyebut, daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bukanlah orang yang kuat itu adalah orang pandai bergulat, tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah.” – Riwayat Bukhari

Manakala dalam riwayat Muslim disebutkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang paling kuat bukanlah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain. Tetapi orang paling kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika dia sedang marah.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN