KUALA LUMPUR 29 Nov. – Syarikat Jepun, Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) muncul sebagai pemegang saham terbesar apabila membeli 16 peratus pegangan dalam IHH Healthcare Bhd. (IHH) bernilai RM8.42 bilion daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Sehubungan itu, Mitsui akan menguasai 32.9 peratus kepentingan dalam syarikat penjagaan kesihatan itu, manakala pegangan Khazanah berkurangan daripada 41 peratus kepada 26.05 peratus apabila pembelian itu selesai pada suku pertama 2019.
Khazanah dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, syarikat pelaburan itu menjual 1.4 bilion saham dalam IHH kepada Mitsui pada harga RM6 sesaham.
“Ini berdasarkan kepada modal saham diperbesar IHH selepas syarikat itu menyelesaikan pembelian tambahan 30 peratus kepentingan ekuiti dalam Acibadem Saglik Yatirimlari Holding A.S. IHH mengumumkan pembelian kepentingan dalam Acibadem pada 8 Oktober 2018,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Khazanah dan Mitsui terlibat dalam urusan jual beli kepentingan dalam IHH.
Dilaporkan, Mitsui mencairkan sahamnya kepada 20.32 peratus semasa tawaran awam permulaan IHH pada Julai 2012 dan kemudiannya pada September 2016, Mitsui menjual dua peratus pegangannya bernilai RM1.02 bilion yang menyaksikannya ia dikurangkan kepada 18 peratus.
Secara dasarnya, IHH merupakan kumpulan hospital swasta terbesar di Asia yang mengendalikan 50 buah hospital dengan lebih 12,000 katil di sembilan negara termasuk Singapura, Malaysia, Turki dan India.
IHH memiliki rangkaian jenama hospital terkemuka seperti Mount Elizabeth, Gleneagles, Pantai, Parkway dan Acibadem merentasi Asia serta Eropah Timur dan Tengah.
Sementara itu, Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd. Redza Abdul Rahman berkata, tindakan yang dilaksanakan Khazanah ketika ini menyamai apa yang telah berlaku ke atas Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan mengurangkan pegangannya secara berperingkat.
Khazanah kini memiliki 26.21 peratus dalam TM berbanding 41.78 peratus pada Mac 2010, manakala TNB pula memegang 28.08 peratus berbanding 28.26 peratus pada Disember 2016.
Malah, Mohd. Redza menyifatkan penjualan pegangan kepada Mitsui itu juga boleh digunakan untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.










