KUALA LUMPUR – Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya dilantik Timbalan Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang baharu menggantikan Laksamana Madya Datuk Mohamad Reza Mohd Sany berkuat kuasa hari ini.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas antara Khairul Anuar dan Mohamad Reza disaksikan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Mohd. Reza akan dilantik sebagai Panglima TLDM yang baharu dalam satu majlis yang akan disaksikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Kementerian Pertahanan petang ini.
Khairul Anuar, 58, pernah memegang jawatan penting seperti Ketua Staf Markas Pemerintahan Armada, Panglima Wilayah Laut 2 sebelum dilantik Asisten Ketua Staf Operasi dan Eksesais TLDM pada 20 Januari 2017.
Anak kelahiran Taiping, Perak yang menerima pendidikan awal di Singapura itu ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM pada tahun 1981.
Sepanjang berkhidmat, Khairul Anuar yang merupakan lulusan Master of Arts in Defence Studies dari Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai kepakaran dalam Peperangan Elektronik dan Komunikasi. – Bernama










