ALOR SETAR 22 Nov. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan dua pemain import baharu kuota Asia dan ASEAN yang akan mewakili skuad Hijau Kuning menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa berkata, dua pemain yang sah ialah Muhammad Shakir Hamzah, 26, dari Singapura dan Anmar Fares Abdul Jabar Mubaraki, 27, dari Iraq.
“Muhammad Shakir dari Home FC akan mengisi spot pertahanan manakala Anmar Fares yang kini mewakili Army FC, Thailand sehingga tamat kontrak tidak lama lagi bakal mengisi kedudukan sebagai penyerang bagi 2019,” katanya pada sidang akhbar perkembangan persiapan pasukan utama Kedah 2019, di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga mengenalpasti tiga lagi pemain import kuota antarabangsa bagi memperkukuhkan lagi pasukan itu iaitu dua pemain dari Brazil dan seorang lagi dari Sepanyol.
“Dua pemain iaitu pertahanan dari Brazil dan penyerang dari Sepanyol mengesahkan bermain untuk Kedah tetapi identiti mereka perlu dirahsiakan kerana mereka masih bermain dengan kelab asal.
“Seorang lagi pemain iaitu penyerang dari Brazil kini dalam fasa akhir pengesahan dan beliau juga masih mempunyai baki perlawanan dengan kelab asal,” jelasnya.
Pada sidang akhbar itu, beliau turut mengumumkan pihaknya tidak memperbaharui kontrak lima pemain import lama iaitu Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Paulo Rangel, Alvaro Silva dan Andik Vermansah.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, lima pemain tempatan baharu Kedah ialah N. Thanabalan dari Negeri Sembilan FA, Azmeer Yusof (Kuala Lumpur FA), Syahrul Azwari Ibrahim (Melaka United SA), Shahrul Igwan Samsudin (Selangor FA) dan Mohd. Hidhir Idris (Piala Presiden Kedah FA).
“Lima pemain yang masih mempunyai kontrak ialah Mohd. Amirul Hisyam Awang Kechik (tengah), Mohd. Ifwat Akmal Che Kassim (penjaga gol), Muhammad Akhyar Abdul Rashid (penyerang), Mohd. Syawal Nordin (pertahanan) dan Muhd. Farhan Abu Bakar (penjaga gol),” katanya.
Jelas beliau, penyerang muda Kedah, Muhammad Akhyar dilamar kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan proses untuk menyelesaikan isu perpindahan pemain itu masih berlangsung.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi perantara untuk menyelesaikan perkara ini antara kami (KFA) dengan pasukan baharu Akhyar yang mana pemain itu mempunyai baki kontrak setahun lagi dengan KFA,” jelasnya.
Tambahnya, seramai lapan pemain memperbaharui kontrak untuk musim depan, antaranya ialah Mohd. Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari, Baddrol Bakhtiar dan Abd. Hadi Abd. Hamid. – UTUSAN ONLINE










