KUALA LUMPUR – Seorang doktor pakar yang juga merupakan ketua jabatan sebuah hospital di Lembah Klang telah ditamatkan perkhidmatannya pada Rabu lepas berhubung dakwaan salah laku seksual.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan semalam berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan untuk menamatkan perkhidmatan doktor pakar terbabit berkuat kuasa 14 November, manakala surat penamatan perkhidmatan disampaikan kepada doktor berkenaan kelmarin.
“Jawatankuasa Siasatan Khas sudah selesai menjalankan siasatan pada 23 Oktober lalu. Laporan lengkap siasatan jawatankuasa itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 24 Oktober sebelum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara.











