Keterbukaan Malaysia tidak memerlukan ICERD - Utusan Malaysia

Keterbukaan Malaysia tidak memerlukan ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 16 Nov. – Keterbukaan kepada bangsa dan agama lain yang diamalkan di negara ini adalah jauh lebih baik tanpa perlu kerajaan bertindak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata, tidak ada satu kaum pun di negara ini yang dizalimi dan ditindas sejak dari zaman pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi.

 Beliau berkata, apa yang sangat dibimbangi daripada ICERDC adalah menjadi agenda membuka ruang kepada tuntutan hak yang lebih besar kepada agama lain selain daripada Islam.

 “Keterbukaan kita lebih baik sehingga di Malaysia ini orang Cina boleh menguasai ekonomi dalam negara malah sekarang ini lebih separuh Ahli Parlimen adalah orang bukan Islam.

 “Orang Melayu dan Islam sekarang adalah majoriti di Malaysia tetapi rakyat yang beragama lain tetap diberi kelonggaran yang cukup banyak,” katanya selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

 Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menyeru agar seluruh umat Islam di negara ini bersatu menolak usaha meratifikasi ICERDC.

 “ICERDC ini agenda sangat berbahaya, kerana akhirnya ia mahu mewujudkan persamaan antara agama, sebab itu bila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebut kita bersedia turun ke jalan raya, maka saya mahu menyatakan bahawa Majlis Syura Pas akan berada di barisan hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN