SAMA ADA mahu berkumpul untuk kenduri pisang atau berhimpun di tengah-tengah ibu negara, Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10 (1) (b) telah memberi hak tersebut kepada rakyat Malaysia.
Dengan syarat, selagi mana perhimpunan itu dianjurkan secara aman dan tanpa melibatkan senjata. Jaminan hak ini juga selari dengan norma antarabangsa yang dapat dilihat dalam pelbagai instrumen perundangan.
Malah di Amerika Syarikat (AS), hak berhimpun dimasukkan dalam Perlembagaan negara itu menerusi First Amendment iaitu pada tahun 1791 bersekali kebebasan akhbar, bersuara dan agama.
Begitulah tingginya kedudukan hak kebebasan berhimpun dan ini juga dimasukkan dalam pelbagai instrumen perundangan antarabangsa dan antara termasyhur adalah Deklarasi Universal Mengenai Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Konvenan Antarabangsa mengenai Hak Politik dan Sivil (ICCPR) yang diperjuangkan banyak pihak dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga salah satunya mengandungi peruntukan kebebasan berhimpun.
Justeru, canggung lah andai di bawah era Malaysia baharu masih lagi memberikan alasan sama seperti sebelum ini kepada pihak-pihak yang mahu menganjurkan perhimpunan seperti himpunan ‘kesyukuran’ apabila kerajaan tidak lagi meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) 8 Disember ini.
Tanpa menidakkan Perkara 10 (2) Perlembagaan yang pada masa sama membenarkan kawalan atau sekatan kepada kebebasan tersebut, tetapi biarlah 1001 alasan kerajaan yang dulu untuk tidak membenarkan siri perhimpunan Bersih, masuk dalam buku sejarah sahaja.
Satu macam tidak kena apabila mulut bercakap mengenai keperluan kerajaan menerima ICCPR dan konvensyen hak asasi PBB lain tetapi pada masa sama mahu menyanggah hak warganegara untuk berhimpun secara aman.
Apa pun, pihak berkuasa cubalah akomodasi dengan penganjur perhimpunan 8 Disember ini mengenai syarat-syaratnya supaya perhimpunan tetap berjalan dan soal keselamatan tidak dikompromi. Barulah Malaysia baharu. -UTUSAN ONLINE










