KUALA LUMPUR 29 Nov. – Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) meluahkan rasa kecewa atas kejadian yang menimpa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, baru-baru ini.

Lebih buruk lagi, luah Presidennya, Zainal Abidin Nong Chik, terdapat pihak yang cuba menyalahkan pihak bomba, seolah-olah anggotanya cuai ketika melakukan tugas.
“Mereka datang tidak memilih parti, tidak memilih bangsa, tidak memilih agama, tidak memilih (tahap) bahaya pada waktu itu.
“Bagaimana jika pada waktu itu keluarga yang membuat kecoh itu sendiri (berada) di dalam kereta (yang dibakar) itu tidak dapat diselamatkan?” katanya dalam sidang akhbar di lobi Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Terdahulu, Zainal Abidin bersama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda meluangkan masa melawat Muhammad Adib di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN. – UTUSAN ONLINE










