KUALA LUMPUR 29 Nov. – Bekas pembantu khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor yang didakwa atas empat pertuduhan rasuah berhubung projek bersepadu sistem solar bagi sekolah luar bandar Sarawak akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili Rizal, 44, selepas sebutan kes tersebut didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib memaklumkan bahawa pihaknya tiada bantahan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Rozina kemudian memberikan masa selama seminggu bermula hari ini untuk pihak pembelaan memfailkan permohonan itu dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan kes bagi mengetahui status permohonan memindahkan kes tersebut.
Pada 15 November lalu, Rizal didakwa atas satu pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta bagi pihak bekas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin bagi mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ahli perniagaan itu juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk memastikan Rosmah membantu syarikat itu mendapatkan projek tersebut.
Tertuduh yang pernah bekerja sebagai pembantu khas Rosmah turut didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM5 juta bagi pihak Rosmah dan RM500,000 untuk dirinya daripada Saidi sebagai upah membantu syarikat mendapatkan projek berkenaan.-UTUSANONLINE










