KUALA LUMPUR 29 Nov. – Kes pengubahan wang haram yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dibenarkan untuk dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan itu.
Pada 4 Oktober lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram dengan cara membenarkan kemasukan wang berjumlah lebih RM7 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










