Kerajaan Terengganu bentuk jawatankuasa ad-hoc - Utusan Malaysia

Kerajaan Terengganu bentuk jawatankuasa ad-hoc

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 27 Nov. – Kerajaan negeri bersetuju membentuk satu jawatankuasa ad-hoc yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang untuk memperjuangkan hak negeri dan rakyat yang sepatutnya dalam soal ro­yalti petroleum.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mohktar memutuskan pendekatan itu dengan kese­diaan yang ditegaskan oleh dua bekas pemimpin negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) dan Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) untuk membantu.

“Ini juga mesej yang jelas bahawa kami boleh duduk bersama kerana inilah yang kita perjuangkan untuk rakyat… bukan untuk kepentingan politik, dan yakin inisiatif sedemikian dilihat sebagai suatu yang sangat kuat kesannya kepada Pusat,” ujar Ahmad Samsuri.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahmad Razif selaku Ketua Pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini yang bertanyakan langkah untuk mendesak Pusat agar memastikan bahawa wang ihsan diperoleh.

Menurut Ahmad Razif, soal itu juga menjadi perkara utama yang diperjuangkan untuk bersama mendesak kerajaan Pusat memastikan hak rakyat terma­suk wang ihsan dan telaga mi­nyak Bertam tidak dinafikan.

Ahmad Razif berkata, royalti minyak merupakan isu penting yang harus diberi perhatian ke­rana bakal memberi impak kepada Belanjawan 2019 sekira­nya Terengganu tidak menerima bayaran yang dijadualkan.

“Kalau wang ihsan tidak diperoleh, segala pembenta­ngan belanjawan pada kali ini sekadar retorik. Sebab itu saya minta kita buat desakan secara agresif ke­rana bayaran royalti setiap tahun sepatutnya sudah selesai pada bulan Oktober. Sekarang masih terhutang, jadi kita bimbang perkara ini,” katanya.

Ahmad Said yang turut mencelah, secara terbuka menawarkan diri untuk membantu kerajaan negeri berbincang bagi menyelesaikan urusan itu de­ngan kerajaan Pusat.

“Saya bersedia menawarkan diri untuk bersama dengan Menteri Besar bertemu Tun Dr. Mahathir bagi mendapatkan hak kerajaan negeri Terengganu ke­rana inilah yang saya perjuangkan selama ini sehingga saya tersingkir daripada jawatan,” katanya.

Ahmad Samsuri seterusnya berterima kasih atas kesediaan dua bekas Menteri Besar itu bersama membantu kerajaan ne­geri dan ketika di luar DUN, beliau memberitahu jawatankuasa itu akan dibentuk sebelum akhir tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN