KUALA LUMPUR 30 Nov. – Kerajaan negeri Kedah akan memberikan perhatian terbaik untuk memenuhi keperluan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang kini parah setelah menjadi mangsa rusuhan Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini Selasa lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa ketika keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menziarahi Muhammad Adib semalam.
“Selaku Menteri Besar Kedah apabila saya dimaklumkan Muhammad Adib adalah anak Kedah, saya terpanggil untuk datang sendiri melihat keadaannya.
“Apa juga keperluan keluarga akan kami beri perhatian sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Hari ini, Muhammad Adib telah sedar dan mula menunjukkan perkembangan positif. – UTUSAN ONLINE










