LANGKAWI 24 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan tidak ada keperluan untuk membawa keputusan kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dipersetujui di Kabinet ke dalam penyata rasmi harian (hansard) Parlimen.
Perdana Menteri itu berkata, perkara itu sudah diputuskan sebulat suara di Kabinet sebelum ini dengan mengambilkira bantahan daripada rakyat.
“Kita sudah bagi tahu bahawa ini adalah keputusan Kabinet.
“Jadi tidak ada keperluan untuk bawa ke Parlimen. Dari mana Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dapat peraturan ini (bawa ke Parlimen,“ katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang kenyataan pemimpin UMNO yang mempertikaikan kenyataan akhbar dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri mengenai keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang didakwa tidak mengikut formaliti pentadbiran.
Hal demikian ini kerana perkara itu hanya boleh disahkan melalui tanda tangan Perdana Menteri sendiri yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar dapat direkodkan dalam hansard rasmi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan sedemikian (kenyataan akhbar) tidak boleh diterima dan tidak menjamin bahawa ia akan berubah pada bila-bila masa, apatah lagi ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
Mengulas lanjut Dr. Mahathir turut menafikan keputusan tidak meratifikasi ICERD disebabkan oleh tekanan daripada parti pembangkang.
“Semasa saya di New York saya sudah nyatakan bahawa negara kita ini mempunyai penduduk berbilang bangsa, agama dan sebagainya, perkara yang hendak diratifikasi ini adalah perkara yang rumit, apa yang penting adalah apakah penerimaan rakyat, sebab itu nampak jelas bahawa rakyat tidak terima ini.
“Perkara ini juga bukan kerana politik tetapi kita patuh kerana kehendak rakyat.
“Lagipun untuk pinda Perlembagaan memerlukan dua pertiga dan dalam kerajaan yang ada sekarang ini tidak ada dua pertiga malah dalam kerajaan pun ada yang tidak bersetuju,” katanya. – UTUSAN ONLINE










