Kenal alam seawal usia - Utusan Malaysia

Kenal alam seawal usia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI cara dilakukan manusia untuk menyuarakan kecintaan terhadap alam semula jadi. Daripada selembut-lembut kempen pemuliharaan sehinggalah pendekatan yang ekstrem melalui bantahan atau tunjuk perasaan.

Apa sahaja kaedah yang dirasakan perlu, semuanya memainkan peranan tersendiri untuk memastikan kelestarian alam yang dinikmati hari ini terus terpelihara daripada kegelojohan manusia.

Bagi aktivis alam sekitar, Hashim Man, 58, pendekatan melalui pendidikan yang bermula sejak usia muda adalah kaedah paling berkesan dalam kempen melindungi alam.

“Pelbagai cara telah dilakukan oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mempertahankan alam khususnya hutan simpan di negara ini yang semakin terancam.

“Ramai lupa bahawa usaha ini perlu berpatah balik ke titik permulaan iaitu mendidik generasi muda mengenal alam dengan lebih dekat,’’ katanya yang berpengalaman 20 tahun sebagai nature guide.

Hashim berkata, pendidikan awal merupakan asas yang tidak dapat diketepikan untuk melahirkan masyarakat yang lebih menghargai alam dan mengenal lebih akrab isi kandungannya.

Katanya, hanya melalui pendedahan secara berterusan generasi muda dapat menghayati dan mencintai alam dalam erti kata sebenar dan bukannya sekadar kempen yang dilaungkan sebagai retorik.

“Ia satu proses yang sangat panjang. Tiada siapa dapat menolak kepentingan pendidikan untuk melahirkan masyarakat dalam melindungi alam.

“Bermula dengan ilmu alam, kita harap pengetahuan mereka berkembang kepada isu alam sekitar, sains dan ekosistem,’’ ujarnya.

Hashim merupakan salah seorang tenaga pengajar dalam program Nusa Nature Camp yang disertai 25 kanak-kanak berusia enam hingga 13 tahun di Taman Negara Pahang, baru-baru ini.

Program anjuran SPKG Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tourism Pahang itu merupakan program yang memberi pendedahan mengenai alam semula jadi kepada kanak-kanak.

Salah satu acara menarik sepanjang program tiga hari dua malam di Nusa Holiday Village itu adalah jelajah hutan untuk mengenal spesies flora dan fauna di Taman Negara.

Diawasi sepenuhnya oleh pengendali dewasa, jelajah peserta cilik meneroka denai sejauh tiga kilometer berakhir di jeram yang menjadi lokasi pertandingan melukis.

Di calet penginapan, pengisian program dipenuhi aktiviti berkumpulan yang memberi penghayatan tentang alam dan manusia, keagamaan dan permainan.

Pengarah program, Iszarizal Ismail berkata, acara sempena kempen Revisit Pahang Truly Malaysia 2018 itu akan dipromosikan dalam kalendar pelancongan negeri sebagai tarikan baharu di Taman Negara.

“Kita mahu memperkenalkan Taman Negara sebagai destinasi yang bukan sahaja sesuai untuk aktiviti lasak tetapi menepati kehendak semua tanpa mengira peringkat umur.

“Program ini mempunyai tarikan kerana tidak banyak pengusaha pelancongan menyediakan program untuk kanak-kanak,’’ katanya.

Iszarizal berkata, ibu bapa boleh memilih untuk sama-sama menginap atau meninggalkan anak-anak mereka di calet di bawah pengawasan penganjur sepanjang acara berlangsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN