BANGKOK – Kementerian Pertahanan telah menjimatkan sejumlah RM36 juta apabila anggota tentera Malaysia tidak lagi terlibat dalam latihan ketenteraan ‘Desert Eagle’ di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, tindakan Malaysia menarik balik tenteranya yang ditempatkan di Arab Saudi sejak 2015 juga telah menjimatkan perbelanjaan kementerian, tetapi beliau tidak mendedahkan jumlahnya.
“Kita akan hanya tumpu penghantaran tentera (Malaysia) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kalau bertembung antara negara, kita akan cuba mengelakkan (penghantaran tentera), hanya di bawah PBB,” katanya kepada Bernama dalam temuramah di sini.
Malaysia menempatkan anggota tenteranya di Arab Saudi sejak tiga tahun lepas bertujuan membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman, yang sedang berhadapan dengan konflik.
Menurut Mohamad, Malaysia boleh memainkan peranan untuk mencari penyelesaian di Yaman yang disifatkannya kini berada dalam keadaan yang mendatangkan bencana, menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dianggotai 57 buah negara. – Bernama










