PUTRAJAYA 30 Nov. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini menerima lima serpihan baharu yang dikatakan milik pesawat Malaysia Airlines MH370, iaitu pesawat yang dilaporkan hilang secara misteri sejak 2014.
Serpihan yang ditemukan oleh nelayan tempatan di perairan Madagascar di tiga lokasi berbeza yang jaraknya ratusan kilometer (km) dari satu sama lain itu telah diserahkan oleh sekumpulan ahli keluarga penumpang pesawat terbabit di sini.
Antara yang diserahkan adalah serpihan mempunyai nombor dan label yang masih boleh dibaca, dipercayai bahagian sebahagian panel lantai penumpang pesawat Boeing 777.
“Kita tidak akan menutup sebarang kemungkinan jika terdapat bukti-bukti baharu. Kalau ada sesiapa yang mempunyai bukti-bukti meyakinkan, kita terbuka untuk membuka semula siasatan berkenaan,” katanya pada majlis penyerahan tersebut.
Dalam pada itu, seorang daripada kumpulan ahli keluarga mangsa itu, Grace Nathan berkata, usaha pencarian pesawat itu perlu diteruskan oleh semua pihak kerana lebih banyak serpihan dipercayai dibawa arus ke pantai-pantai berdekatan.
Setakat ini sebanyak 27 serpihan telah dikumpulkan dari pelbagai tempat di seluruh dunia, namun hanya tiga serpihan sayap yang dihanyutkan di sepanjang Lautan Hindi disahkan milik pesawat itu.
Kerajaan pada Mei lalu menghentikan operasi selepas pencarian selama tiga bulan yang dijalankan oleh sebuah frima Amerika Syarikat, Ocean Infinity di kawasan seluas 112,000 km persegi di Lautan Hindi menemui jalan buntu. – UTUSAN ONLINE










