Kelmarin umum keluar parti, hari ini masuk balik - Utusan Malaysia

Kelmarin umum keluar parti, hari ini masuk balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 27 Nov. – Selepas 24 jam mengisytiharkan keluar daripada Parti Amanah Negara (Amanah), lebih 100 ahli parti itu cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir membuat pusingan U apabila menyertai semula parti berkenaan.

Kesemua mereka termasuk pengerusi Amanah cawangan itu, Jalalludin Mulot memberitahu, keputusan menyertai semula parti itu dibuat tanpa desakan mana-mana pihak dan menyifatkan masalah yang berlaku dalam parti itu telah selesai.

Katanya, masalah dalaman membabitkan jawatan dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang menjadi punca krisis telah pun diselesaikan secara baik bersama Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari yang juga Ketua Menteri

“Masalah itu tidak lagi menjadi isu dan pihak kami kini lebih fokus untuk melaksanakan perjuangan parti.

“Kita akan meneruskan perjuangan bersama Amanah negeri ini, walau apa juga masalah yang berlaku kita akan sentiasa menyokong parti,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan pembatalan pengisytiharan mereka keluar parti itu bersama penyokongnya di sini hari ini.

Kelmarin, Jalalludin bersama lebih 100 ahli Amanah cawangan tersebut mengisytiharkan keluar daripada parti itu ekoran berlaku krisis dalaman melibatkan jawatan dalam MPKK.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN