Kelantan negeri terbesar guna air bawah tanah - Utusan Malaysia

Kelantan negeri terbesar guna air bawah tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 26 Nov. – Kelantan merupakan negeri terbesar menggunakan air bawah tanah bagi penggunaan domestik dan industri iaitu 84.25 peratus daripada keseluruhan penggunaan air bawah tanah dalam negara.

 

 Menurut data daripada Malaysian Water Industry Guide (MWIG) 2017 terbitan Malaysian Water Association (MWA) menunjukkan pada 2016 negeri ini adalah pengguna terbesar sumber air bawah tanah di Malaysia dengan jumlah penggunaan sebanyak 214 juta liter sehari (JLH) jauh meninggalkan negeri-negeri lain.

 Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Ir Mohd Safrurazi Salleh berkata, pencapaian tersebut melayakkan AKSB mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Operator Air Bawah Tanah Terbesar negara hari ini.
 
 Sijil pengiktirafan telah disampaikan wakil daripada MBOR, Edwin Yeoh kepada Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail selepas Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC) di Hotel Grand Riverview (GRV) di sini hari ini.

 Program itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Sr Azami Mohd Nor.

 Mohd Safrurazi berkata, sejarah penggunaan air bawah tanah untuk tujuan bekalan air bersih kepada rakyat telah bermula seawal tahun 1940-an lagi dengan terbinanya telaga terbuka di Loji Rawatan Air Kampung Puteh di sini yang telah menjangkau usia 60 tahun.

 Jelasnya, antara punca menyebabkan alternatif sumber air mentah selain air sungai dicari adalah kerana faktor kemarau dan pencemaran air sungai yang semakin teruk terutamanya disebabkan projek penanaman semula.

 “Teknologi penggunaan air bawah tanah di dipertingkatkan dengan menggunakan telaga jejari sejak 2009 bermula di daerah Jeli yang dapat mengeluarkan kadar air mentah jauh lebih banyak daripada kaedah telaga tiub.

 “Kekangan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan perkhidmatan air ketika itu menjadikan kita lebih kreatif sehingga menyebabkan kita kini menjadi rujukan negeri lain pula,” katanya.

 Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 21 telaga jejari dan 119 telaga tiub beroperasi di seluruh negeri dengan kadar pengeluaran terkini melebihi 280 JLH bersamaan 58 peratus daripada keseluruhan pengeluaran air bersih di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×