PULAU PINANG 29 Nov. – Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan futsal bagi meraikan ahli-ahlinya di sini, malam semalam.
Berlangsung dalam semangat kesukanan yang tinggi, seramai empat pasukan masing-masing terdiri daripada enam ahli mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.
Kesemua mereka merupakan pengamal media di negeri ini terdiri daripada wartawan, jurugambar dan jurukamera pelbagai agensi berita.
Menurut Presiden Mutiara, Ahmad Zhafaran Mohamed Nasib, kejohanan itu merupakan antara program yang dirangka Kelab Mutiara dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama pengamal media di negeri ini.
Lebih bermakna, kata beliau, kejohanan kali ini juga sebagai meraikan ahli kelab itu yang tidak lagi berkhidmat di negeri ini termasuk wartawan Utusan Malaysia yang menerima tawaran Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bermula bulan depan.
Mereka ialah Penolong Ketua Biro Utusan Malaysia, Azeli Ali; wartawan iaitu Iswan Shafiq Isa dan Mohd. Firdaus Ismail serta jurugambar Azman Asmayatim.
“Program sebegini juga memberi peluang kepada pengamal media di negeri ini untuk meredakan tekanan dan melupakan seketika kesibukan tugas masing-masing.
“Sudah pasti program sebegini akan diteruskan pada masa depan dalam mengukuhkan lagi ikatan silaturahim sesama pengamal media khususnya yang bernaung di bawah Kelab Mutiara,” katanya.
Dalam program yang berlangsung di gelanggang Futsal Nation, Bandar Bayan Baru di sini itu, pasukan Mutiara D muncul juara selepas mendapat tujuh mata manakala naib juara dimenangi Mutiara B (6 mata).
Tempat ketiga pula milik pasukan Mutiara A yang mengumpul empat mata manakala Mutiara C terpaksa berpuas hati di tempat keempat tanpa sebarang mata. – UTUSAN ONLINE










