ALOR SETAR 15 Nov. – Kerajaan negeri berhasrat untuk mengikut jejak langkah Perak yang bercadang meminda Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 bagi memudahkan individu melakukan urusan untuk berpoligami.
Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Perak bagi mengenalpasti tindakan tepat melaksanakan perkara itu.
“Mudahkan urusan poligami ada juga (cadangan) namun kita bimbang juga tentang penerimaan ‘mem besar’ (isteri pertama).
“Apapun kita ambil perhatian perkara ini. Saya ada berbisik juga dengan Perak kut boleh ikut juga (permudahkan poligami),” katanya ketika ucapan penggulungan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) berhubung cara-cara mengatasi isu anak tidak sah taraf ekoran perkahwinan di luar negara.
Dalam perkembangan lain, kata Ismail, pihaknya masih menantikan siasatan lanjut daripada polis berhubung kejadian pengedaran risalah Bible di Kota Kuala Muda baru-baru ini.
“Namun siasatan awal mendapati perkara itu dilakukan kumpulan tertentu untuk provokasi.
“Apa pun kita yakin ia berpunca daripada kelemahan sistem penguatkuasaan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE










