KOTA BHARU 28 Nov. – Bertubuh kecil dan menjadi anggota termuda dalam kumpulan dikir barat yang dimonopoli golongan dewasa bukan perkara yang menakutkan dua sahabat baik, Nik Muhammad Farhan Alif Ismail, 10, dan Muhammad Faris Ayub, 10, dari Kampung Binjai di sini.
Kedua-dua mereka adalah sebahagian daripada pemuzik dalam kumpulan dikir barat Suria Kencana yang ditubuhkan sejak 1998 di kampung tersebut dan kini mempunyai 25 ahli.
Nik Muhammad Farhan Alif yang juga anak kepada pengurus kumpulan, Ismail Yusuf, 54, berkata, dia selalu mengikut ayahnya dalam latihan dikir barat sejak berusia 4 tahun lagi dan mula menjadi pemain tamborin untuk kumpulan itu pada usia 8 tahun.
“Saya boleh bermain tamborin dan rumba serta mengikuti latihan kumpulan dua kali seminggu, cara bermainnya tidak susah sangat cuma saya perlu ingat giliran masa perlu masuk dalam lagu.
“Empat lagi abang saya iaitu Muhammad Badawi, 24; Muhammad Badrul Hisham, 20; Muhammad Badri Haikal, 19 dan Muhammad Faiz, 17, juga menjadi ‘awak-awak’ dalam kumpulan kami dan banyak membantu saya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan dalam program Dikir Barat Viral anjuran Kelab Suara Muda, di sini semalam.
Sementara itu, Muhammad Faris pula berkata, dia mula aktif bermain muzik dengan kumpulan itu awal tahun ini setelah diberi peluang oleh jurulatihnya yang juga tok juara, Zawawi Mohd Zain, 40.
“Saya suka sangat mengikut Farhan berlatih, sebab itu cikgu beri saya peluang kerana lihat saya berminat, saya juga bermain tamborin dan rumba dalam kumpulan.
“Kumpulan kami berlatih setiap hari Ahad dan Rabu dari pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, cikgu tidak garang jadi saya makin bersungguh ikut apa dia ajar,” katanya.
Dalam pada itu, Zawawi pula berkata, penglibatan anak-anak kecil dalam kumpulan dikir barat dewasa menuntut disiplin dan minat yang tinggi terutama apabila menyertai pertandingan.










