Kebakaran California belum reda - Utusan Malaysia

Kebakaran California belum reda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARADISE, California – Bilangan individu yang hilang dalam kebakaran hutan paling dahsyat di California melonjak kepada lebih 600 orang kelmarin ketika mayat tujuh lagi mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat.

Pihak berkuasa berkata, sena­rai orang hilang meningkat da­ri­pada 300 kepada 631 orang selepas pasukan penyiasat menyemak semula panggilan kecemasan yang diterima apabila kebakaran dikenali sebagai Camp Fire itu bermula di California, 8 November lalu.

“Saya mahu anda memahami bahawa situasi kelam-kabut yang kami hadapi apabila kebakaran ini berlaku adalah di luar jangkaan,” kata Syerif Daerah Butte, Kory Honea ketika memberi penjelasan berhubung peningkatan bilangan mangsa hilang itu kepada pemberita kelmarin.

Dalam perkembangan ber­kai­­tan, tujuh mangsa tambahan ditemui kelmarin, menjadikan jumlah mereka yang terkorban dalam kebakaran Camp Fire meningkat kepada 63 orang.

Sekurang-kurangnya tiga yang lain meninggal dunia di California Selatan dalam satu lagi kebakaran besar dikenali sebagai Woolsey Fire. Kebakaran hutan itu melanda beberapa kawasan di Malibu yang memusnahkan kedia­man sebilangan selebriti.

Sementara itu, Presiden Do­nald Trump dijadualkan melawat negeri di barat Amerika Syarikat itu hari ini untuk bertemu de­ngan mangsa-mangsa terselamat. Kebakaran kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah California.

Ramai mangsa kebakaran dan ratusan yang hilang dalam kebakaran Camp Fire merupakan warga emas yang menetap di bandar Paradise, Daerah Butte di kaki pergunungan Sierra Nevada.

Mereka dipercayai tidak sempat melarikan diri daripada api yang marak dengan begitu pantas atau terperangkap di dalam kereta ketika cuba melarikan diri.

Semua kediaman di Paradise yang terletak 130 kilometer ke ibu negeri California, Sacramento musnah dalam kebakaran itu.

Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire) berkata kelmarin bahawa Camp Fire telah memusnahkan kawasan seluas 56,655 hektar dengan 40 peratus api berjaya dikawal.

Menurutnya, hampir 5,500 anggota bomba bergelut untuk memadamkan api. Cal Fire memberitahu, masa dua minggu lagi diperlukan untuk menangani kebakaran itu.

Kebakaran Camp Fire memusnahkan sebanyak 8,650 kediaman dan 260 bangunan perniagaan, tambah Cal Fire.

Satu lagi kebakaran, Woolsey Fire memusnahkan kawasan se­luas 39,660 hektar dengan 62 peratus api berjaya dipadamkan. Kebakaran itu dijangka dipadamkan sepenuhnya menjelang Isnin ini.

Sebilangan selebriti kehila­ngan kediaman mereka di Malibu akibat Woolsey Fire termasuk Pierce Brosnan, Miley Cyrus, Neil Young, Robin Thicke, Shannen Doherty dan Gerard Butler. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN