Keadaan Adib makin positif, mula beri respons - Utusan Malaysia

Keadaan Adib makin positif, mula beri respons

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang diletakkan dalam keadaan koma secara perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, kini sudah sedar dan menunjukkan perkembangan positif pagi ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata keadaan anggota bomba berusia 24 tahun itu semakin baik dan beliau mampu memberi tindak balas terhadap sesetengah arahan verbal pakar perubatan.

“Kami merumuskan keadaan beliau sebagai kritikal namun stabil. Kami selaku petugas perubatan berasa gembira dengan perkembangan beliau dalam tempoh 24 dan 48 jam lalu.

“Pagi ini beliau terjaga dan faham akan sesetengah arahan serta boleh menggerakkan bibirnya. Ini petanda positif yang menyatakan fungsi otaknya bermungkinan okey,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Dari segi fungsi organ-organ lain, Mohd. Azhari berkata, keadaan Muhammad Adib stabil sepanjang malam tadi dengan bantuan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), peralatan yang membantu jantung dan paru-parunya berfungsi dengan baik.

Katanya, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis dan dijangkakan beliau memerlukan mesin itu sekurang-kurangnya selama dua hari.

“Ini disebabkan beliau mengalami kecederaan dan dengan tekanan darahnya yang rendah untuk suatu tempoh, buah pinggang beliau menerima tekanan, bermakna organ itu tidak berfungsi dengan baik. Itu sebabnya beliau memerlukan dialisis,” jelasnya.

Beliau berkata, anggota bomba itu masih diberikan sedatif yang tinggi bagi membolehkan organ-organnya pulih.

Ringkasnya kata, Mohd. Azhari, keadaan anggota bomba itu kekal kritikal namun stabil dengan tanda-tanda perkembangan positif yang menggalakkan.

Beliau berharap semua rakyat Malaysia mendoakan Muhammad Adib agar pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Md. Farid Md. Rafik berkata, beliau mewakili kerajaan menzahirkan penghargaan kepada pakar perubatan IJN dan yang terlibat sebelum ini dalam memberi rawatan kepada Muhammad Adib.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah menziarahi Muhammad Adib pagi ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN