KUALA LUMPUR 15 Nov. – Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan prestasi ekonomi pada suku ketiga tahun ini esok, dengan rata-rata penganalisis mengunjurkan ia mencatat pertumbuhan di bawah lima peratus, lebih rendah berbanding 6.2 peratus pada tempoh sama 2017.
Ekonomi Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang semakin sederhana dalam tiga suku sebelum ini selepas suku ketiga tahun lalu, dan yang tertinggi direkodkan sejak 2014.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh kepada 5.9 peratus pada suku keempat 2017, diikuti 5.4 peratus (suku pertama 2018) dan kemudiannya 4.5 peratus (suku kedua 2018). Pertumbuhan separuh pertama tahun ini direkodkan 4.9 peratus.
Dalam satu tinjauan yang dijalankan Reuters, 15 penganalisis ekonomi mengunjurkan KDNK akan berkembang 4.6 peratus antara Julai hingga September tahun ini.
Berbeza dengan firma penyelidikan lain, MIDF Research menjangkakan Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK pada 4.2 peratus, terendah dalam tempoh sembilan suku sebelum ini manakala keseluruhan tahun pula disemak semula kepada 4.8 peratus.
Katanya, ketegangan dalam perang dagangan, ketidaktentuan harga komoditi dan perkembangan domestik fiskal adalah antara faktor utama yang mempengaruhi keyakinan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga ini.
“Berpandukan kepada petunjuk utama, ekonomi Malaysia akan lebih rendah pada suku ketiga ini. Indeks sentimen pengguna Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) merekodkan 108.8 mata pada suku ketiga, lebih rendah berbanding rekod 21 tahun paling tinggi dicatatkan pada suku kedua 2018.
“Sama seperti indeks persekitaran perniagaan MIER, kedua-dua petunjuk itu kekal meyakinkan tetapi pada tahap yang rendah. Oleh itu kami berpendapat KDNK lebih rendah pada suku ini walaupun ekonomi Malaysia terus meningkat dan perbelanjaan domestik kukuh,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini pada 4.8 peratus manakala 4.9 peratus pada 2019 disokong oleh permintaan domestik dan sektor luaran.
Gangguan bekalan menyaksikan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada suku kedua 2018 berbanding 5.8 peratus tahun lalu, yang mana jauh lebih rendah daripada dijangkakan ramai pakar ekonomi.
Minggu lalu, BNM mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus. Kali terakhir ia dinaikkan pada 25 mata asas, Januari lalu, iaitu kenaikan kali pertama sejak Julai 2014.
Menurut Ambank Research, KDNK yang diunjurkan kerajaan adalah sejajar dengan unjuran yang dibuat firma penyelidikan itu iaitu antara 4.8 hingga lima peratus tahun ini manakala 4.5 hingga 4.8 peratus pada tahun hadapan.
“Pertumbuhan ini akan disokong oleh perbelanjaan swasta, eksport dan pelaburan awam. Di samping itu, pertumbuhan KDNK pada tahun hadapan, sebahagian besarnya ditentukan oleh cabaran luaran terutama perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Dalam pada itu, di peringkat domestik pula, usaha kerajaan untuk meminimumkan beban cukai kepada isi rumah dan membantu menangani isu rasuah serta meningkatkan ketelusan fiskal secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan pelabur pada masa hadapan,” katanya.









