KUALA LUMPUR 22 Nov. – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal stabil dan tumbuh pada 4.8 peratus bagi 2018 dan 2019, meskipun dengan jangkaan risiko luaran yang lebih besar berpunca daripada perang perdagangan di peringkat global.
Ahli ekonomi kanan United Overseas Bank Malaysia Bhd. (UOB Malaysia), Julia Goh berkata, unjuran itu telah disemak semula daripada lima peratus sebelum ini mengambil kira pertikaian antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta kuantum kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang terus memberi impak kepada pertumbuhan global.
“Ketegangan antara AS dan China dijangka tidak berkurangan. Dasar perlindungan perdagangan sudah pasti negatif di peringkat global. Ini membawa kepada risiko yang lebih besar terhadap ekonomi Asia yang didorong oleh eksport termasuk Malaysia sendiri.

“Peluasan langkah-langkah perdagangan akibat pertelingkahan ini akan dirasai dengan lebih ketara pada 2019. Walaupun Malaysia tidak terkecuali, ekonomi negara akan disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan domestik yang kukuh,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.
Menurut Goh, pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini mengemukakan beberapa langkah fiskal yang positif untuk mengukuhkan perbelanjaan pengguna, menggalakkan sikap inklusif serta meningkatkan pertumbuhan.
“Penggunaan swasta dijangka didorong oleh gaji minimum yang lebih tinggi, bantuan tunai yang disasarkan dan subsidi petrol. Pembayaran balik cukai juga akan menambah aliran tunai swasta sekali gus menggalakkan perbelanjaan domestik.
“Selain itu, kerajaan juga menekankan kepada kemajuan sektor nilai tambah seperti industri berintensifkan teknologi, selain mempercepatkan transformasi digital sektor perkilangan melalui inisiatif Industri 4.0 dan perbelanjaan infrastruktur yang disasarkan,” katanya.










