KUALA LUMPUR 18 Nov. – Daya tahan ekonomi Malaysia akan terus diuji pada 2019 walaupun negara mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi yang berpunca daripada perkembangan dalam dan luar negeri.
Agensi penarafan RAM Ratings menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan merosot kepada 4.6 peratus pada tahun depan, daripada 4.7 peratus yang dijangka untuk 2018, kebanyakannya disebabkan oleh permintaan luar yang tidak menentu dan kadar pelaburan yang perlahan.
Katanya, penggunaan swasta akan terus menjadi penyumbang utama permintaan domestik pada 2019, biarpun ia dijangka sederhana pada kadar 6.8 peratus berbanding 7.5 peratus pada 2018 berikutan daya tahan pasaran buruh diuji oleh iklim perniagaan yang lebih mencabar.
Untuk itu katanya, beberapa inisiatif dasar yang diumumkan di bawah Bajet 2019, yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan hidup golongan B40 dapat meningkatkan penggunaan swasta.
“Segmen B40 biasanya menunjukkan kecenderungan marginal yang lebih tinggi bagi penggunaan sekiranya ada pendapatan tambahan,” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Dalam pada itu RAM Ratings berkata, biarpun banyak syarikat menunjukkan pelaburan positif, subindeks Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) mengenai sentimen pelaburan masih menunjukkan unjuran lemah terutamanya bagi firma berorientasikan domestik dan eksport untuk suku terakhir 2018 sehingga suku pertama tahun hadapan.
“Pelepasan aliran tunai tambahan daripada pembayaran balik cukai kepada firma dan dasar lain yang diperkenalkan untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan tahun depan dijangka memudahkan pengembangan kapasiti perniagaan yang diperlukan, tetapi tidak dapat memacu sebarang pelaburan tambahan.
“Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan pelaburan swasta turun sedikit pada tahun depan pada kadar 4.1 peratus, menurun berbanding 4.6 peratus yang dijangkakan pada 2018,” katanya.
Pada suku pertama tahun ini, Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK pada 5.4 peratus diikuti 4.5 peratus pada suku kedua. Pertumbuhan separuh pertama tahun ini direkodkan 4.9 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, aktiviti sektor swasta akan berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan di tengah-tengah penyusunan semula perbelanjaan sektor awam.
Katanya, bagi tempoh selanjutnya pada 2018 dan menjelang 2019, pemulihan pengeluaran komoditi secara beransur-ansur juga akan memberi sokongan kepada pertumbuhan.
Malaysia mencatatkan KDNK pada 4.4 peratus bagi suku ketiga tahun ini, lebih rendah berbanding 6.2 peratus bagi tempoh sama 2017.











