LUMUT 6 Nov. – Empat nelayan warga Indonesia berhadapan detik cemas apabila bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Jarak dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, kesemua mereka berusia 38 hingga 42 tahun diselamatkan sekumpulan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Difahamkan, bot yang dinaiki mereka rosak di perairan Selat Melaka sejak Khamis lalu sebelum dihanyutkan ke perairan Pulau Jarak yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Lumut.
Bot berkenaan tidak dapat dikawal dan melanggar batu sebelum karam di perairan pulau berkenaan pada pukul 5 pagi semalam dan kesemua mereka menyelamatkan diri dengan berlindung di pulau tersebut.
Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam satu kenyataannya memberitahu, kejadian itu disedari sepasukan anggota tentera darat yang sedang bertugas di pulau berkenaan sebelum melaporkan kepada TLDM untuk bantuan.
“TLDM melalui Pusat Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat bertindak mengarahkan KD Ledang untuk melaksanakan misi bantuan bagi menyelamat mangsa bot karam tersebut.
“Kesemua mereka berjaya diselamatkan pada pukul 6.30 petang sebelum diserahkan kepada Bot Kombat 90 (CB90) untuk dibawa ke Pangkalan TLDM di Lumut,” katanya.
Tambahnya, keempat-empat nelayan itu akhirnya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 12.40 tengah malam untuk tindakan lanjut.










