BANGI 17 Nov. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat pertama kalinya menganjurkan Karnival Kanak-Kanak Bersama SSPN bertujuan memberi kesedaran kepada pengunjung terutama ibu bapa tentang kepentingan menabung untuk pendidikan tinggi.
Karnival besar-besaran itu diadakan di seluruh negeri pada 10, 11 dan 17 November lalu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata, pemilihan sekolah rendah sebagai lokasi karnival adalah tepat bagi mendidik anak-anak menabung sejak dari usia muda.
“Menabung adalah satu proses pendidikan kepada anak-anak dan apabila karnival ini diadakan di sekolah rendah, ia secara tidak langsung dapat mengajar mereka membudayakan amalan menabung.
“Pada masa sama, kami ingin kanak-kanak itu bergembira dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena karnival ini,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kanak-Kanak Bersama SSPN di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra di sini, baru-baru ini.
Mastura berkata, melalui karnival tersebut, PTPTN turut mempromosikan tentang insentif percuma Geran Sepadan bernilai RM500 yang disediakan oleh kerajaan sekiranya ibu bapa menabung dengan amaun yang sama di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sama ada SSPN-i atau SSPN-i Plus.
Jelasnya, tawaran itu diberikan kepada ibu bapa yang memiliki anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun.
“Ibu bapa perlu segera merebut peluang yang diberikan kerajaan kerana tawaran itu akan berakhir pada 31 Disember 2018,” ujar Mastura.
Seramai 446 murid dari 15 buah sekolah dalam PPD Hulu Langat terlibat dalam Karnival Kanak-Kanak Bersama SSPN di SK Bandar Seri Putra Bangi, Selangor.
Antara aktiviti yang diadakan seawal 9 pagi itu adalah pertandingan mewarna, menyusun puzzle, Tarian 3 Kupang Challenge dan permainan bijak wang.
Aktiviti turut dimeriahkan dengan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut yang membuka gerai-gerai jualan makanan.
Sementara itu di Putrajaya, karnival tersebut diadakan di SK Putrajaya Presint 16 (1) dengan disertai oleh kesemua 14 buah sekolah rendah yang terdapat di Putrajaya.
Karnival di Putrajaya mempertanding acara yang sama, selain diceriakan dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti cabutan bertuah, permainan soopa doopa serta penampilan istimewa maskot animasi Robozeta dan maskot PTPTN.
Pengurus Besar Negeri Pejabat PTPTN WP Kuala Lumpur (Zon Selatan), Ahmad Shahril @ Muhammad Shahrir Ghazali berkata, sempena karnival itu, PTPTN turut membuka kaunter bagi memudahkan ibu bapa membuat simpanan dalam SSPN di samping menawarkan pelbagai hadiah dan cenderahati menarik.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan ini adalah usaha yang baik untuk kami mendekati masyarakat. Saya berharap acara seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Geran Sepadan RM500
Simpan dalam SSPN-i atau SSPN-i Plus RM500, dapat RM500 percuma.
Terhad kepada 500,000 akaun
Sah sehingga 31 Disember 2018










